Kerinduan tersebut telah diluahkan oleh Rozana Misbun, 36, terhadap anak-anaknya yang kini di bawah jagaan Awie. Katanya, dia terlalu rindukan mereka hingga wajah anak-anaknya itu terbawa-bawa dalam mimpi.
"Hampir lima bulan saya menderita kerana terlalu rindukan anak-anak. Saya cuba hubungi mereka, tetapi nombor seperti tidak digunakan lagi. Sehinggakan hampir setiap hari saya mimpi berjumpa dengan mereka," ujarnya.
"Saya percaya satu hari nanti, mimpi tersebut benar-benar menjadi kenyataan kerana saya yakin berada di pihak yang benar.
"Sehingga kini, saya hanya mampu berdoa kepada Allah dan berharap kebenaran akan ditunjukkan jua. Harap-harap dapat berjumpa dengan mereka segera. Tetapi sama ada mereka sayangkan saya lagi atau tidak, saya tidak mahu fikir. Saya serahkan perkara itu kepada Allah," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah semalam mengarahkan Rozana mengemukakan akuan bersumpah sebagai bukti berhubung dakwaannya mengatakan perkahwinannya dengan Awie tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).
Dakwaan perkahwinan itu tidak pernah didaftarkan muncul selepas Rozana meragui permohonan Awie yang turut melampirkan bersama surat nikah mereka ketika mengemukakan permohonan hak jagaan anak (hadanah) secara ex-parte kepada mahkamah sebelum ini.
Awie dan Rozana didakwa berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12 - PORTAL MYARTIS.
0 Komentar untuk "Terlalu menyayat hati, ini luahan sedih Rozana Misbun isteri Awie"