Berita Malaysia

Berita Di Malaysia Update Terkini

Luahan Perasaan Ibu Kepada Remaja Yang Dibogelkan Kerana Disyaki Mencuri

BACHOK, 6 Nov - Baru-baru ini tersebar beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang remaja lelaki dibogelkan yang didakwa cuba mencuri motosikal berdekatan dengan sebuah masjid dekat sini.

Ibu kepada remaja berkenaan tampil meluahkan perasaan kecewa terhadap perkara tersebut. Menurut ibu yang berusia 38 tahun itu, walaupun anaknya bersalah, orang ramai tidak ada hak untuk memperlakukan anaknya sedemikian rupa.

"Kalau mereka pukul, saya boleh terima tetapi bila orang ramai bogelkan, memang itu perkara yang memalukan kami sekeluarga.


"Luluh hati seorang ibu apabila melihat anak diperlakukan begitu. Biarpun kalau dia bersalah sekalipun, masih ada banyak lagi cara untuk menghukumnya," memetik laporan dari berita Bernama.

Ibu berkenaan juga berkata perbuatan menjatuhkan maruah itu bertentangan dengan ajaran Islam.


"Ia berlaku di masjid, sepatutnya ada yang melarang (perbuatan membogelkan remaja itu) dan tidak menyebarkan gambarnya di laman sosial kerana berdosa membuka aib orang lain.

"Saya dapat tahu perkara ini melalui laman sosial Facebook dan bila lihat saya terus cam yang itu anak saya. Apa yang saya lebih kesal adalah tindakan orang ramai yang membogelkan anak saya," katanya.

Ibu kepada remaja berkenaan turut berharap agar orang ramai berhenti menyebarkan gambar anaknya yang dalam keadaan memalukan itu.

"Saya harap orang berhenti menyebarkan gambar dia dan sekiranya ada, mereka harus 'delete' gambar itu dengan segera kerana ia memalukan," katanya.

Menurut dari Imam Masjid tempat berkenaan, Ibrahim Ahmad, 69, dia dan beberapa jemaah lain terkejut dengan apa yang berlaku..

"Saya keluar lambat selepas selesai solat Isyak dan tak sangka orang ramai bogelkan remaja itu dan saya tak tahu siapa yang lakukan.

"Kami dah cuba untuk halang tetapi tidak berjaya kerana ramai orang yang berada ketika kejadian itu dan saya kesal dengan tindakan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menegaskan orang awam yang menangkap individu yang dipercayai melakukan jenayah dilarang sama sekali mengambil tindakan sendiri yang boleh melanggar undang-undang. Perkara yang sebetulnya adalah menyerahkan individu itu kepada pihak polis.

Mazlan menambah insiden bogel tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 kanun Keseksaan kerana mencederakan dan boleh dipenjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah. - Siakapkeli.com.my
0 Komentar untuk "Luahan Perasaan Ibu Kepada Remaja Yang Dibogelkan Kerana Disyaki Mencuri"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info