Berita Malaysia

Berita Di Malaysia Update Terkini

Kisah Pondan Pertama Jadi Model Penghias Majalah Vogue

NEW YORK - Setelah menjalani pembedahan jantina sebagai wanita, mantan ‘jantan’ kelahiran Bosnia, Andreja Pejic, kini tampil sebagai model transgender pertama untuk profil penghias majalah fesyen ternama, Vogue.


Lebih dikenali sebagai Andrej Pejic, bekas lelaki berusia 24 tahun itu sebenarnya pernah muncul dalam pelbagai majalah busana antarabangsa dan kini mula diberi kepercayaan sebagai duta jenama pelbagai produk kecantikan.

Lahir pada 1991 di Tuzla, bandar ketiga terbesar di negara Muslim Eropah itu selepas ibu kota Sarajevo dan Banja Luka; dia pindah dengan keluarga ke Melbourne, Australia pada 1999 ekoran perang saudara di rantau Balkan.



Kisah kejayaannya bukanlah dicapai dengan mudah, malah banyak pengalaman hidup pahit dilalui Pejic termasuk sering dibuli rakan-rakan sekelas di Australia kerana penampilannya waktu kecil agak ‘jambu’ lemah lembut.

“Ingin rasanya saya menghentikan akil baligh. Saya selalu bimbang dengan fizikal kaki dan tangan yang terus membesar, manakala rahang saya yang semakin tegas terbentuk,” ujar Pejic mengimbau zaman kelelakiannya.

Sehinggalah suatu hari ketika berusia 16 tahun, Pejic semasa bekerja di sebuah restoran makanan segera popular McDonald’s di Melbourne, dia kebetulan bertemu pengarah agensi pencari bakat baharu, Chadwick Models.


Dari situ, perjalanan Pejic menjadi seorang peragawan (dibaca: peragawati) bermula kerana memiliki penampilan semula jadi sebagai model androgini (maskulin + feminin; atau ramai salah faham rujuk sebagai metroseksual).

Pejic mencipta sukses menjadi model runway pilihan antarabangsa sehingga sering ‘direbut’ hanya untuk memperagakan busana daripada pereka ternama seperti Jean Paul Gaultier, Jeremy Scott dan Marc Jacobs.

Ironi Pejic masih berasa ada yang kurang lagi dalam naluri dirinya, lantas menyedari dirinya lebih selesa sebagai wanita seutuhnya, akhirnya pada Julai 2014, Pejic nekad menjalani pembedahan pertukaran jantina.


“Pasti ada banyak ayat kesal seperti: ‘Oh! Anda akan kehilangan sesuatu yang istimewa dari dalam diri. Anda tidak akan menjadi semenarik seperti dulu lagi’,” ujar Pejic mengimbau pengorbanan diri buat selama-lamanya.

Bahkan ujarnya, salah sebuah agensi modeling menyatakan Pejic akan lebih berjaya menjadi model androgini berbanding pondan selepas mencipta nama antara sebagai ‘100 Model Menarik’ menerusi majalah Out pada 2011.

Meskipun menimbulkan banyak kontroversi dalam kalangan dalam dunia fesyen mahupun di luar bidang itu, pada akhirnya Pejic mengikut kata hatinya untuk menjadi seorang wanita sepenuhnya daripada kekal ‘pondan jantan’.



Saat ini, dia mengaku bahagia dengan pilihan yang dijalaninya dan menjadi model transgender dalam arena fesyen antarabangsa melenyapkan kisah pahit sebagai pelarian di kem NATO dekat Belgrade, Serbia awal 1990-an.

“Ini yang terbaik untuk saya. Akhirnya saya sedar bahawa gender dan seksualiti begitu rumit dan tidak semudah itu. Ini semua tentang apa yang ditampilkan, namun bukan dari luarnya sahaja,” kata Pejic._MynewsHub
0 Komentar untuk "Kisah Pondan Pertama Jadi Model Penghias Majalah Vogue"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info