Berita Malaysia

Berita Di Malaysia Update Terkini

Pembedahan jantung Ahmad Zikri ditangguh

DUNGUN - Pembedahan jantung yang sepatutnya dijalankan ke atas bayi enam bulan, Ahmad Zikri Hakim Zulkarnain pada 10 April lalu terpaksa ditangguhkan kerana masalah pengangkutan dan kesihatannya yang tidak stabil.



Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah derita bayi berkenaan yang mengalami masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan usus selepas dua minggu dilahirkan kerana muntah najis melalui mulut.

Ibunya, Nor Aniza Abdul Hamid, 27, berkata, dia sangat sedih kerana tarikh pembedahan anak keduanya itu terpaksa ditunda.

Menurutnya, keluarganya tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anaknya ke Institut Jantung Negara (IJN) dan mustahil untuk mereka pergi menunggang motosikal.

“Pada tarikh yang ditetapkan, kami berdepan masalah untuk ke sana dan jika menggunakan perkhidmatan bas ia juga amat rumit kerana sampai ke satu destinasi, kami perlu pula mencari kenderaan lain untuk sampai ke IJN.

“Pada masa yang sama juga anak saya diserang demam dan jika kesihatannya tidak stabil, pembedahan tidak boleh dijalankan,” katanya.

Kata Nor Aniza, dia berharap pembedahan anaknya itu dapat dijalankan segera kerana dalam keadaan sekarang, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“IJN ada hubungi kami dan Insya-Allah pembedahan akan dijalankan pada bulan hadapan, tetapi kami masih buntu untuk membawanya ke sana menggunakan apa, tambahan pula tarikh sebenar masih tidak dimaklumkan.

“Kerja suami juga agak terganggu kerana tidak tenang memikirkan keadaan anak yang tak sihat tetapi sekarang anak sudah sembuh dari demam, cuma batuk-batuk sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sebelum ini keluarga berkenaan pernah menggunakan khidmat menerusi wakil di Dun Bukit Besi untuk ke IJN.

“Sebelum ini keluarga ini memang pernah menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang kami sediakan dan untuk tarikh pembedahan akan datang sudah tentu tiada masalah.

“Bagaimanapun, keluarga ini perlu berhubung dengan wakil kami di sana untuk membuat permohonan perkhidmatan kenderaan dan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya peka dengan masalah dialami bayi berkenaan.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi talian 012-9566968 atau salurkan terus ke akaun Bank Islam 13044021060457 di atas nama Nur Aniza.-Sinar Harian
0 Komentar untuk "Pembedahan jantung Ahmad Zikri ditangguh"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info