Berita Malaysia

Berita Di Malaysia Update Terkini

Cikgu Kafa sedia dibuang kerja tuntut janji PRU

KISAH seorang guru Kafa, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham, 24, yang 'menyerbu' Sidang Dun Selangor untuk menuntut kerajaan negeri menaikkan elaun guru Kafa membawa suara guru lain yang senasib dengannya.


Namun, mereka tidak berani tampil dan hanya mampu memendam rasa kerana bimbang periuk nasi akan terjejas.

Tinjauan Sinar Harian di negeri lain juga mendapati, guru agama turut menghadapi nasib sama apabila terpaksa melakukan kerja sampingan kerana elaun yang diperolehi kecil jika dibandingkan dengan taraf hidup ketika ini.

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didesak menyelesaikan segera isu kenaikan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) seperti yang dijanjikan dalam manifesto PR dan bukan terus berdiam diri.

Seorang guru Kafa, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham, 24, mendakwa, surat tuntutan kenaikan elaun yang dihantar pihaknya kepada Mohamed Azmin Rabu lalu sehingga kini masih tiada maklum balas.

Lebih malang katanya, beliau juga berdepan tindakan ditamatkan perkhidmatan sebagai guru Kafa kerana didakwa melanggar terma perjanjian pelantikan.

“Saya minta kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali melihat kesusahan guru Kafa yang rata-ratanya perlu menanggung kehidupan dan pembelajaran anak, isteri dan keluarga.

“Kami dibebani dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Mohamed Azmin harus peka mengenai keadaan itu, lebih-lebih lagi setelah rakyat dihimpit dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang semakin mencekik ekonomi rakyat,” katanya pada sidang media di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Dakwa Ekhsan Bukharee lagi, pentadbiran Mohamed Azmin sepatutnya tidak mempunyai masalah menyediakan peruntukan kewangan tersebut memandangkan rizab kerajaan negeri mencecah bilion ringgit.

Rabu lalu, Ekhsan Bukharee 'menyerbu' Sidang Dun Selangor untuk menuntut kerajaan negeri menaikkan elaun guru Kafa seperti yang dijanjikan PR pada PRU13.

Guru Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar itu juga memberitahu telah menerima surat daripada Jais bertarikh 9 April yang meminta penjelasan berhubung tindakannya cuba memasuki sidang Dun itu.

“Saya diberi tempoh dua minggu untuk beri penjelasan bermula tarikh surat itu dikeluarkan. Jika gagal, perkhidmatan saya sebagai guru Kafa akan ditamatkan,” katanya.

Menurut Ekhsan Bukharee, beliau rela dikenakan tindakan oleh Jais termasuk dipecat semata-mata mahu menuntut kenaikan elaun sebanyak RM200 itu demi membela nasib rakan sejawatan lain yang dihimpit peningkatan kos sara hidup.

“Kami tak minta gaji mewah. Ini soal integriti menteri besar untuk tunaikan apa yang dijanjikan (manifesto). Jika kerajaan PR mengatakan Barisan Nasional sering memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat, apa bezanya mereka ini, yang turut jadikan kenaikan elaun sebagai ‘gula-gula’ tetapi tidak tunaikan janji?” katanya.

Beliau berkata, gaji guru Kafa yang rendah juga memaksa segelintir guru Kafa mencari pekerjaan sambilan untuk menampung keperluan diri mahupun keluarga.

Pada PRU13, kerajaan gabungan DAP, Pas dan PKR dalam manifesto mereka berjanji untuk menaikkan elaun guru Kafa di Selangor daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pada Khamis lalu menyatakan pihaknya sedang mengkaji kesesuaian penambahan peruntukan berkenaan yang dibuat semasa PRU13 itu.-Sinar Harian 
0 Komentar untuk "Cikgu Kafa sedia dibuang kerja tuntut janji PRU"

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info